KEMAMAN: Padah menyamar sebagai anggota polis, dua penganggur dicekup awal pagi ini selepas gambar mereka tersebar di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, Mohd. Khairul Mamat, 37, dan Wan Mohd. Yusof Wan, 38, ditahan dalam serbuan berasingan di Pantai Chendor di Kuantan, Pahang kira-kira pukul 2 pagi.
“Lelaki pertama ditahan semasa bersembunyi dalam belukar berhampiran Pantai Chendor selepas kurang 24 jam gambarnya tersebar.
“Susulan penangkapan individu pertama, kita menahan rakannya di rumahnya yang berhampiran pantai itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan polis memburu dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis dan bertindak memeras ugut pekerja ladang Indonesia di Felcra Sungai Pergam sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna putih.
Hanyan berkata, hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua individu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine di samping mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan mencuri.
“Mereka ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE