JOHOR BAHRU: Dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar maut selepas terlibat dalam kebakaran sebuah bangsal di Kampung Parit Kecil, Sungai Bunyi, Pontian, dekat sini semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Penolong Penguasa Bomba Iqbal Raduan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.35 petang.
Katanya, lima anggota beserta sebuah jentera ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Setibanya anggota di lokasi, kebakaran didapati membabitkan bangsal jenis sementara itu t mengalami kemusnahan hampir 90 peratus manakala api telah dipadam orang awam.
“Pemeriksaan dibuat mendapati dua mangsa termasuk seorang warganegara Myanmar rentung akibat kebakaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Iqbal, kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tersebut ditamatkan pada pukul 6.05 petang. – UTUSAN ONLINE