Desakan siasat Lokman didakwa buat kenyataan hina Agong - Utusan Malaysia

Desakan siasat Lokman didakwa buat kenyataan hina Agong

YUSHAIRIL Iswan Ahmad Rohaini dalam sidang akhbar selepas membuat laporan terhadap Lokman Noor Adam di Balai Polis Sungai Senam di Ipoh, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pihak berkuasa digesa menyiasat kenyataan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penubuhan kerajaan ‘pintu belakang’ di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Penggerak Komuniti Negara (PKN) Padang Rengas, Yushairil Iswan Ahmad Rohaini berkata, pihaknya menentang sekeras-kerasnya kenyataan Lokman itu yang disifatkan sebagai biadab dan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong selaku pemimpin tertinggi negara.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil ke atas Lokman supaya perlakuan yang tidak menghormati sistem raja berpelembagaan tidak berulang.

“Lokman dalam rakaman video berdurasi 27 minit di YouTube itu jelas mengaibkan Yang di-Pertuan Agong malah pada minit 6.29, beliau secara jelas menyatakan sama ada Seri Paduka merestui dan membenarkan peralihan kuasa secara pintu belakang sekali lagi.

“Dalam rakaman itu juga, Lokman beberapa kali mengulangi yang pelantikan Tan Sri Muhyiddin oleh Seri Paduka pada Februari lalu adalah pelantikan secara pintu belakang,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap Lokman di Balai Polis Sungai Senam, di sini hari ini.

Menurut Yushairil Iswan, kenyataan Lokman itu adalah penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong yang mana rakyat menyaksikan bagaimana proses panjang dilakukan Seri Paduka sebelum melantik perdana menteri.

“Apa-apa kenyataan beliau sangat biadap dan melambangkan keperibadiannya yang tidak menghormati institusi beraja. Perkara ini sangat serius dan wajar diambil tindakan segera,” katanya.

Video klip bertajuk ‘13 Oktober, tragedi tumbangnya kerajaan Muhyiddin?’ itu dimuat naik menerusi akaun YouTube Lokman Adam, dua hari lalu dan sehingga kini ditonton 7,600 pelayar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya