Dalang pencemaran Sungai Batang Benar ditangkap - Utusan Malaysia

Dalang pencemaran Sungai Batang Benar ditangkap

CHE Zakaria Othman menunjukkan treler yang dirampas kerana disyaki digunakan untuk membuang sisa buangan di Sungai Batang Benar, Nilai, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis menahan dua lelaki di Kelantan kerana disyaki menjadi dalang yang mencemarkan sungai Batang Benar di Nilai dekat sini hingga menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air bersih di Selangor.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, suspek ditahan di Kota Bharu, semalam iaitu tidak sampai 24 jam selepas aduan mengenai percemaran itu dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, suspek ditahan di Kota Bharu dan dibawa ke Negeri Sembilan untuk tahanan reman selama seminggu bermula hari ini.

“Turut dirampas sebuah treler yang disyaki digunakan untuk membuang bahan buangan berkenaan.

“Kami percaya treler itu mempunyai kaitan dengan tapak pembuangan haram di Jalan Emas di Taman Perindustrian Nilai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Che Zakaria, treler berkenaan adalah milik sebuah syarikat pengangkutan di Kelantan dan polis masih menyiasat jenis bahan yang dibuang serta sumbernya.

“Pasukan forensik sudah mengambil sampel sisa buangan di Jalan Emas ini dan treler berkenaan akan dihantar untuk ujian makmal bagi menentukan bahan yang dibawa adalah sama seperti di lokasi pembuangan,” jelasnya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tali air atau sungai dan boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun serta denda.

Pencemaran sungai di Batang Benar itu didakwa sebagai punca pencemaran air mentah di Sungai Semenyih sehingga dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas menyebabkan puluhan ribu penduduk di Selangor terjejas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN