Daerah kategori zon kuning, merah tidak dibenarkan solat Jumaat - Utusan Malaysia

Daerah kategori zon kuning, merah tidak dibenarkan solat Jumaat

MOHD. SHAHZIHAN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Daerah yang diklasifikasikan sebagai zon kuning dan merah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak dibenarkan melaksanakan solat Jumaat di masjid dan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, zon kuning adalah di daerah Kuala Selangor, Sepang dan Hulu Selangor.

Manakala bagi zon merah pula, katanya, merujuk kepada daerah Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Gombak.

“Kita membenarkan enam orang sahaja dalam kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu lima waktu di masjid dan surau,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Tambah Mohd. Shahzihan, bagi daerah Sabak Bernam, pihaknya membenarkan solat Jumaat didirikan di semua masjid dan surau setelah melihat kepada faktor geografi dan keadaan semasa.

“Kita juga mengehadkan bilangan jemaah solat Jumaat kepada 23 orang sahaja terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK) bagi masjid manakala 16 pegawai dan ahli AJK bagi surau.

“Bagi solat fardu lima waktu di masjid dan surau pula, kita telah tetapkan pada jumlah yang sama juga,” ujarnya.

Sementara itu, berkenaan majlis akad nikah di masjid dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang dibenarkan sebelum ini juga perlu ditangguhkan bagi daerah yang dikategorikan sebagai zon kuning dan zon merah.

“Bagaimanapun, bagi akad nikah yang perlu dijalankan di zon hijau bolehlah diteruskan di PAID Sabak Bernam setelah mendapat kelulusan khas dari Ketua Pendaftar Nikah Cerai & Rujuk Orang Islam Selangor.

“Kita juga akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perubahan kepada ketetapan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN