KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mengarahkannya untuk membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan dari tahun 2011 hingga 2017 termasuk penalti sebanyak RM1.6 bilion.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi berkata, rayuan tersebut difailkan beberapa bulan lalu dan Mahkamah Rayuan telah menetapkan esok untuk pengurusan kes itu.
Pada 22 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan penghakiman terus dalam saman yang dikemukakan terhadap Najib. Penghakiman terus adalah kes diputuskan melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.
Hakim Ahmad Bache dalam keputusannya antara lain menyatakan, tunggakan cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh Ahli Parlimen Pekan itu merupakan hutang kepada negara yang perlu dibayar.
Hakim tersebut juga berpendapat bahawa jumlah yang dikenakan oleh LHDN terhadap Najib adalah wajar dan adil kerana denda sama akan dikenakan kepada semua pembayar cukai yang lewat membuat pembayaran.
Mahkamah membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Najib bagi jumlah RM1,692,872,924.83 dengan kos RM15,000.
Melalui saman yang difailkan pada 25 Jun 2019, Kerajaan Malaysia menerusi LHDN menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan tambahan yang belum dibayar bagi tempoh tahun taksiran 2011 hingga 2017.
Turut dimohon ialah faedah lima peratus setahun atas jumlah yang ditentukan dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN ONLINE