Covid-19: Kes di Lembah Klang meningkat - Utusan Malaysia

Covid-19: Kes di Lembah Klang meningkat

FAHMI Fadzil membuat saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Tanglin, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kawasan Lembah Klang menyaksikan trend peningkatan kes positif Covid-19 walaupun berlaku penurunan keseluruhan kes di seluruh negara sebanyak 375 kes berbanding 489 kes baharu semalam.

Sebanyak 50 kes baharu direkodkan di Lembah Klang semalam dengan 36 kes di Selangor; Kuala Lumpur (12) dan Putrajaya (2) berbanding 24 kes positif Covid-19 semalam di kawasan sama dengan Selangor (19); Kuala Lumpur (3) dan Putrajaya (2).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 12 kes baharu daripada Kluster Jalan Meru di Selangor, empat kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi, Sabah dan 20 kes daripada pelbagai saringan lain bagi Covid-19.

“Di Kuala Lumpur, berlaku pertambahan 10 kes melibatkan lapan kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Pantai dan dua kes saringan pulang dari Sabah.

“Di Putrajaya, satu kes berlaku daripada Kluster Selasih manakala satu kes lagi adalah kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi, Sabah,” katanya dalam laporan harian Covid-19 di sini semalam.

Beliau berkata, lima kluster baharu dan lima kematian direkodkan semalam melibatkan empat lelaki dan seorang perempuan berusia antara 53 hingga 82 tahun di Sabah sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak 146 kes.

Selain Kuala Lumpur, katanya, dua kluster berlaku di Sabah manakala Sarawak dan Labuan masing-masing satu kluster.

“Kluster Tujuh Serangkai dikenal pasti di Tuaran, Sabah dan berlaku pertambahan 23 kes positif Covid-19.

“Kluster Tanamera berlaku di Tawau, Sabah dan menyebabkan sembilan kes baharu berlaku di sana. Bagi Kluster Bah Arnab yang didapati di Kuching, Sarawak berlaku empat kes baharu manakala Kluster Bah Bangat di Labuan menyebabkan sembilan kes dikesan positif Covid-19,” katanya.

Menurutnya, daripada 375 kes baharu dilaporkan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari Belgium dan India.

Jelasnya, daripada 371 kes penularan di dalam negara, 342 kes rakyat tempatan dan 29 kes adalah bukan warganegara.

“Sebanyak 18 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu adalah sebanyak 301 kes.

“Di Sabah berlaku 271 kes; Kedah (16); Labuan (10); Sarawak (6); Johor, Perak dan Terenganu masing-masing (5); Negeri Sembilan (2); Melaka dan Pulau Pinang masing masing (1),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya