Bukan kekasih, tetapi dakwa diculik - Utusan Malaysia

Bukan kekasih, tetapi dakwa diculik

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Wanita yang ditahan bersama suspek yang melarikan kereta peronda polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) di Kepala Batas di sini, kelmarin mendakwa dia bukan kekasih lelaki terbabit.

Malah, gadis berusia 21 tahun itu turut mendakwa dia tidak mengenali suspek lelaki berusia 38 tahun berkenaan sebaliknya diculik bersama-sama kereta peronda polis jenis Honda Civic berkenaan.

Sumber berkata, wanita itu memberitahu polis dia dilarikan ketika sedang bekerja di sebuah kedai telefon bimbit di Tasek Gelugor di sini selepas suspek mendakwa dirinya anggota polis.

“Dia mendakwa suspek yang datang ke kedai itu dengan kereta berkenaan memaklumkan dia mempunyai kes jenayah yang perlu diselesaikan dan telah mengarahkannya mengikut lelaki berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek lelaki itu pula mendakwa dia mengenali wanita tersebut yang kononnya kekasihnya.

“Namun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Akhbar semalam melaporkan dua lelaki yang juga adik-beradik bertindak berani menyamun sebuah kereta peronda polis di IPD SPU di Kepala Batas malam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, suspek yang menyamar sebagai anggota polis dari Bahagian Sumber Teknologi Maklumat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kononnya mahu membuat pemeriksaan pada kamera papan pemuka kereta tersebut.

Bagaimanapun, selepas empat jam, kenderaan itu berjaya dikesan di di Shah Alam, Selangor dengan suspek lelaki dan wanita ditahan di dalam kenderaan itu manakala adik suspek ditahan di Tasek Gelugor di sini.

Dalam pada itu, sumber berkenaan menambah, siasatan mendapati suspek pada awalnya cuba menyamun kedai telefon bimbit tersebut selepas percubaan menyamun sebuah kedai runcit di kawasan berdekatan gagal.

Namun, katanya, suspek gagal berbuat demikian kerana terdapat ramai pelanggan ketika itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan termasuk ke atas anggota yang bertugas ketika kejadian.

“Kita percaya dapat melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya