Bot karam: Seorang ditemukan lemas, tiga masih hilang - Utusan Malaysia

Bot karam: Seorang ditemukan lemas, tiga masih hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Salah seorang daripada empat mangsa bot karam ditemukan mati lemas pada kedudukan 23 batu nautika barat daya Kuala Selangor, hari ini.

Mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 11.40 pagi oleh KD Mahamiru yang melakukan pencarian memasuki hari ketiga.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mayat mangsa dibawa ke Jeti Kuala Selangor oleh bot RH16 (Pasukan Polis Marin) namun identitinya belum dikenal pasti.

“Tiga lagi mangsa belum ditemukan. Operasi pencarian diteruskan sehingga pukul 7 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, sektor pencarian di Tanjung Sepat membabitkan kawasan 94 batu nautika persegi manakala di Kuala Selangor 214 batu nautika persegi.

Jelas Mohammad Rosli, operasi pencarian melibatkan sebuah pesawat udara dan lima bot daripada agensi sahabat serta unit dron pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Semalam, empat individu hilang manakala tiga terselamat dalam dua kejadian bot karam di perairan Selangor.

Kejadian pertama melibatkan bot nelayan tempatan Kelas C yang karam akibat dipukul ribut di kedudukan 23.08 batu nautika muara Kuala Selangor.

Kejadian kedua pula melibatkan sebuah bot fiber karam pada jarak kira-kira 2.9 batu nautika di perairan Tanjung Sepat, Selangor kira-kira pukul 5.25 petang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya