Beri sokongan padu Belanjawan 2021 - Agong - Utusan Malaysia

Beri sokongan padu Belanjawan 2021 – Agong

AL SULTAN ABDULLAH RI’AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua ahli Parlimen supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka bertitah, sokongan terhadap bajet itu penting demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang pada ketika ini terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Belanjawan 2021 juga amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak.

“Sehubungan itu, Baginda menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,” katanya hari ini.

Seri Paduka bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam bermula pukul 8 pagi, Seri Paduka berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agon menyatakan harapan agar Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Seri Paduka mengingatkan ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing hanya akan merugikan negara.

“Ini sekali gus menyebabkan rakyat menjadi mangsa keadaan pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN