KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan bakal menjadi kayu ukur sokongan ahli parlimen kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Secara tidak langsung, perkara itu juga bakal menentukan kebenaran di sebalik dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menyatakan beliau mempunyai cukup majoriti menubuhkan kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, suasana pembentangan belanjawan kali ini mungkin sedikit ‘berbeza’ kerana pendirian parti terhadap sokongan kepada Perdana Menteri seperti bercelaru terutamanya membabitkan UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Katanya, tidak dapat dipastikan sama ada semua ahli parlimen UMNO dan GPS secara 100 peratus akan mengikut kehendak parti.
“Memang benar undian terhadap Belanjawan 2021 boleh dianggap bayangan terhadap sokongan ahli parlimen kepada Muhyiddin. Lazimnya undi bajet akan ikut pendirian parti iaitu ‘partisan’ yang mana pembangkang akan tolak usul bajet.
“Tapi perlu ambil perhatian bajet akan ada banyak inisiatif bantu kumpulan yang amat memerlukan terutama ketika pandemik Covid-19. Bagi ahli parlimen UMNO atau GPS yang menongkah arus akan dilabel pengkhianat rakyat.
“Saya berpendapat bajet akan lulus walaupun dengan hanya tiga atau empat majoriti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Belanjawan 2021 akan diusulkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada mesyuarat ketiga bagi penggal ketiga Dewan Rakyat yang akan bermula 2 November hingga 15 Disember ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan usul undi tidak percaya yang mungkin dibawa pembangkang, Azmi berkata, itu tidak akan berlaku andai Belanjawan 2021 berjaya diluluskan.
“Jika bajet terlebih dahulu diluluskan, maka Anwar mungkin tidak akan lakukan. Besar kemungkinan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak akan benarkan usul tidak percaya dilangsungkan.
“Dari segi keutamaan usul, kerajaan mempunyai keutamaan berbanding usul persendirian. Jadi tidak mungkin usul undi tidak percaya mendahului usul lulus bajet,” tegasnya. – UTUSAN