Bekas staf Kemas didakwa terima suapan  - Utusan Malaysia

Bekas staf Kemas didakwa terima suapan 

NORSHAHRIL Ramlee (tengah) diiringi pegawai SPRM selepas mengaku tidak bersalah menerima suapan RM9,500 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas pembantu tadbir kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah RM9,500 bagi kontrak kerja pembekalan jabatan itu, empat tahun lalu.

Norshahril Ramlee, 39, mengaku tidak bersalah setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Pertuduhan pertama, Norshahril didakwa menerima suapan RM7,000 daripada Mohd. Hyzery Elec sebagai upah memberikan kerja pembekalan alat ganti kelengkapan pejabat, elektrik dan lain-lain kepada syarikat Bati Enterprise. 

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima upah  RM2,500 bagi membekalkan carta organisasi jabatan, carta pergerakan pegawai dan kakitangan daripada individu sama. 

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada 14 Mei 2016 di Menara Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dan 14 November 2016 di Jalan Melor 1, Taman Peringgit Jaya dalam daerah Melaka Tengah. 

Kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin. 

Tertuduh tanpa peguam merayu jaminan rendah dengan alasan menanggung isteri serta tiga orang anak yang masih bersekolah, selain berdepan kesukaran mendapat pekerjaan tetap ekoran pandemik Covid-19. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan ke pejabat SPRM sehingga kes selesai. 

Mahkamah menetapkan 2 Disember ini sebagai sebutan semula kes dan membayar jaminan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN