TAMPIN: Seorang bayi lelaki yang bakal genap usia setahun 11 Oktober ini ditemukan mati lemas dalam baldi di dapur rumah keluarganya di Desa Permai Repah dekat sini pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab berkata, kejadian menimpa bayi berkenaan disedari bapanya yang berusia lewat 20-an sejurus bangun tidur pada pukul 5.30 pagi untuk ke tempat kerja.
Menurut beliau, apabila bapa mangsa ke dapur untuk mandi, dia ternampak anak ketiganya berada di dalam baldi.
“Baldi tersebut diisi air semasa daerah Tampin terputus bekalan air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anuwal berkata, bapa mangsa segera mengejarkan anaknya ke Unit Kecemasan Hospital Tampin, namun disahkan sudah meninggal dunia.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk merakamkan percakapan bapa mangsa, ibu mangsa dan juga doktor.
“Bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tuanku Jaafar dan doktor mengesahkan punca kematian adalah disebabkan lemas.
“Buat masa ini kami mengklasifikasikan kes ini sebagai kes mati mengejut,” katanya. – UTUSAN