Bayi lelaki baru dilahirkan ditemukan di sisi mayat ibu - Utusan Malaysia

Bayi lelaki baru dilahirkan ditemukan di sisi mayat ibu

PONDOK yang menjadi lokasi seorang bayi lelaki dijumpai masih hidup di sisi mayat ibunya di Jalan Parit, Kampung Piandang, Pusing di Batu Gajah, Perak, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Seorang bayi lelaki dijumpai masih hidup di sisi mayat ibunya di sebuah pondok dalam kebun kelapa sawit di Jalan Parit, Kampung Piandang dekat Pusing, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, bayi itu dan mayat ibunya dijumpai pada pukul 6.45 petang selepas menerima maklumat awam.

Katanya, semasa ditemukan, mayat wanita tersebut ditutup dengan sehelai kain manakala bayi lelaki yang baharu dilahirkan telah dipotong tali pusat dan uri.

“Siasatan mendapati mangsa adalah wanita Indonesia yang dikenali sebagai Yanti Abas berusia 35 tahun dan dia dipercayai meninggal dunia semasa melahirkan bayi tersebut.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh lima jam sebelum ditemukan dan dipercayai ada orang bersamanya semasa dia melahirkan bayi itu,” katanya di sini hari ini.

Menurut Adnan, siasatan pasukan forensik polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian dan badan mangsa.

Katanya, tiada saksi dijumpai semasa pasukan polis tiba di lokasi kejadian untuk disoal siasat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai mangsa dan bayi yang dilahirkan.

“Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat manakala bayi lelaki tersebut pula dirujuk ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan suami wanita itu atau warisnya.

“Kita telah memaklumkan kematian wanita itu kepada pihak Kedutaan Indonesia dan Interpol untuk dibawa balik ke negara asal bagi urusan pengebumian.

“Punca kematian masih belum diketahui dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya