Bayaran BPN 2.0 dibuat lebih awal - Utusan Malaysia

Bayaran BPN 2.0 dibuat lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Prihatin dengan kesukaran dialami oleh rakyat pada ketika ini, pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 fasa pertama telah dimulakan lebih awal daripada jadual.

Menurut kenyataan media dikeluarkan Kementerian Kewangan di sini semalam, bayaran itu telah mula dimasukkan sejak 19 Oktober lalu berbanding tarikh asalnya pada 26 Oktober ini. 

Ia juga susulan beberapa pertanyaan daripada orang ramai yang musykil apabila mereka mendapati sudah menerima bayaran tersebut lebih awal daripada pengumuman sebelum ini. 

“Kementerian Kewangan ingin mengesahkan bahawa pembayaran BPN 2.0 telah bermula lebih awal daripada dijadualkan serta urusan itu dipercepatkan,” kata kenyataan berkenaan.

Ia merujuk usaha komitmen para pegawai kementerian itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan institusi kewangan yang terlibat dalam proses pembayaran tersebut.

Bagaimanapun, pembayaran dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan B40 dengan melibatkan sejumlah 7.5 juta penerima bermula pada 19 Oktober lepas.

Ini meliputi 3.7 juta penerima dalam kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang, manakala golongan M40 pula sudah bermula 22 Oktober yang melibatkan 3.1 juta penerima.

Jumlah itu membabitkan 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang, Proses pengkreditan akan berterusan dan dijangka selesai sebelum hujung bulan ini.

Bagi penerima BPN yang tiada mempunyai sebarang akaun bank, mereka boleh membuat penunaian di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober ini.

“Sementara bagi penerima yang didapati gagal kredit pula, mereka akan dapat pembayaran tersebut mulai seawal minggu kedua pada November depan,” jelas kenyataan tersebut lagi. 

Memandangkan terdapat beberapa negeri yang sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak BSN akan keluarkan panduan tertentu untuk dipatuhi. 

Antaranya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tertentu dari semasa ke semasa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima ketika hadir di premis bank berkenaan.

Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa tempoh permohonan baharu BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 November dan bayaran akan dibuat secara sekaligus pada Januari 2021.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut atau semakan, orang ramai boleh hubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta juga hantar emel kepada [email protected]. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya