JOHOR BAHRU: Segelintir pengusaha dan pemandu lori cuba mengambil kesempatan dengan membawa muatan secara berlebihan pada hari pihak berkuasa tidak menjalankan operasi.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, itu antara alasan diberikan pemandu lori yang ditahan ketika melakukan penguatkuasaan membabitkan lori perdagangan sebelum ini.
“Ketika ditanya mengapa membawa muatan lebih, pemandu menjawab kebiasaannya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak membuat operasi pada hari Sabtu. Mungkin ada pihak menyalurkan maklumat kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen JPJ di Ulu Tiram di sini.
Terdahulu, beliau menyertai Op Perdagangan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor dengan kerjasama JPJ.
Menurut Ayob Khan, sejak Jun lalu hingga semalam, JSPT menjalankan sebanyak 206 operasi perdagangan di seluruh Johor yang mana daripada 261 lori diperiksa, 239 didapati melebihi muatan dibenarkan.
“Ini bermakna 91 peratus daripada jumlah diperiksa membawa muatan sehingga 40 peratus lebih daripada had dibenarkan.
“Sepanjang tempoh itu, kami mengeluarkan 3,512 saman melibatkan pelbagai kesalahan selain turut menyita 118 buah lori perdagangan,” katanya.
Tambahnya, tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha dan pemandu lori itu bukan sahaja menunjukkan mereka tidak takut dengan undang-undang tetapi membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Katanya, kebanyakan lori perdagangan yang melakukan kesalahan tersebut membawa muatan seperti batu, kelapa sawit serta pasir.
“Selain melebihi had muatan dibenarkan, antara kesalahan lain adalah penggunaan tayar ‘botak’, muatan lori tidak ditutup dengan kemas serta lori yang tidak diselenggara.
“Ada juga pemandu yang diperiksa tidak memiliki lesen memandu sah selain penggunaan lori perdagangan yang disita dalam operasi sebelumnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE