PASIR PUTEH: Separuh daripada 27 asnaf dan fakir miskin yang ditempatkan di Desa Alam Shah, Kampung Gong Jenarah, Gaal, di sini keluar daripada kepompong kemiskinan dengan mengusahakan pertanian komersil.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanaan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, projek agroekonomi bagi berkongsi zakat Selangor ke Kelantan itu adalah kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) untuk membantu golongan asnaf di bawah projek ‘Selangor Prihatin’.
Kata beliau, LZS memperuntukkan dana sebanyak RM10 juta bagi membangunkan tanah seluas 14 hektar di kampung berkenaan yang diduduki pada Mei 2016 sekali gus menjadikan penempatan itu sebagai pusat ilmu agrotani.
“Projek penempatan itu untuk tempoh lima tahun dan peserta terbabit akan keluar dengan membawa ilmu serta kemahiran untuk berdikari dalam komuniti bagi membolehkan asnaf lain menikmati peluang yang sama.
“Kesan pendemik Covid-19 turut memberi kesan kepada peserta dari aspek sumber pendapatan dan kementerian akan berbincang dengan pihak pengurusan projek ini untuk menambah setahun lagi tempoh mereka menginap di penempatan itu,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke penempatan berkenaan, semalam.
Yang hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Nik Mohamed Zawawi Salleh: Ahli Dewan Undangan Negeri Gaal, Mohd. Rodzi Jaafar dan Pengerusi PPK Bukit Awang, Tengku Azis Tuan Deraman.
Che Abdullah berkata, pendapatan bulanan hasil keluaran cili kulai di bawah bimbingan PPK Bukit Awang memberi sumber pendapatan bulanan sebanyak RM1,200.
Beliau berkata, projek itu turut menyumbang lain-lain pendapatan sampingan menerusi projek tanaman selingan seperti jagung, labu manis, timun dan bendi.
Katanya, peserta juga aktif dengan Projek Ternakan Ikan Puyu Siam Baka Chumpon yang mendapat pasaran yang tinggi.
“Bagi menjana lebihan pendapatan, peserta didedahkan dengan kursus kemahiran dan keusahawanan seperti asas membuat roti, kek, biskut raya, kuih-muih dan jahitan.
“Ilmu dan latihan sepanjang lima tahun menjadi peserta di Program Agroekonomi Desa Alam Shah ini membantu peserta meneruskan kehidupan bersama keluarga dan tidak lagi tergolong dalam golongan asnaf fakir serta miskin,” katanya. – UTUSAN ONLINE