Apa masalah pakai baju oren? - Utusan Malaysia

Apa masalah pakai baju oren?

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap orang ramai menghentikan polemik isu pemakaian baju oren terhadap individu yang ditahan suruhanjaya itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pemakaian baju itu bertujuan membezakan orang kena tuduh (OKT) yang tinggal di dalam lokap dan individu yang dibawa ke mahkamah.

Katanya, bagi individu yang dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman terserah kepada budi bicara pegawai penyiasat sekiranya ada keperluan pemakaian baju itu.

“Contohnya, pakai baju oren demi penjagaan lebih jelas kerana hendak dibezakan dengan OKT lain. Kalau tangkap sampai tujuh orang, berkemungkinan terdapat penahanan OKT lain, nanti bercampur aduk. Kalau OKT hilang atau lari kami yang perlu tanggung.

“Apa masalah baju oren? Polis juga memakaikan baju ungu kepada pesalah dan menggari mereka, tidak timbul isu. Namun, apabila SPRM pakaikan baju oren timbul isu,” katanya dalam temu bual SPRM 360 yang disiarkan secara langsung menerusi MACC FM di sini hari ini.

Berhubung isu surat sokongan yang tular sebelum ini, Azam berkata, perkara itu terpulang kepada polisi kerajaan sekiranya surat sokongan daripada ahli politik dalam permohonan jawatan boleh diterima atau tidak.

Katanya, surat sokongan itu tidak melibatkan kesalahan undang-undang jika dikepilkan sekali bersama surat permohonan yang dibuat.

Namun, jelasnya, perkara yang tidak boleh dilakukan oleh mana-mana ahli poltiik yang memegang jawatan, surat sokongannya itu ada kaitan dengan saudara-mara terdekat kerana melanggar Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan jawatan atau kedudukan bagi faedah saudara-maranya termasuk anak dan isteri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, SPRM tidak lagi menerima surat layang kes rasuah atau salah guna kuasa melainkan ia dilengkapi dengan dokumen maklumat lengkap dan kukuh untuk menjalankan siasatan.

Ini kerana, jelasnya, SPRM tidak mahu terjadi mana-mana individu atau pihak yang teraniaya berikutan surat layang yang dihantar kepada badan rasuah itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN