KUALA LUMPUR: Suspek yang melarikan diri dari Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Goh Leong Yeong, 32, atau dikenali sebagai Alvin menafikan pembabitannya dalam kegiatan Macau Scam dan perjudian dalam talian.
Video penafiannya berdurasi empat minit dan 40 saat dipercayai turut dimuat naik dalam Facebook oleh kenalan Alvin sejurus selepas ahli perniagaan itu diberkas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam video itu, Alvin mengakui tidak pernah diberi gelaran Datuk Seri serta mempunyai syarikat telekomunikasi dan peralatan teknologi di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, namun tidak pernah membekalkan kepada sindiket Macau Scam atau perjudian atas talian.
Dia turut mendakwa hanya kira-kira RM1 juta wang milik syarikat dibekukan SPRM bagi membantu siasatan.
Selain itu, Alvin mendakwa sepanjang tempoh reman di bawah SPRM, dia memberi kerjasama yang baik ketika siasatan berlangsung.
“Bagaimanapun, ketika hari bebas reman (11 Oktober), saya mendapat tahu mereka yang turut ditahan sebelum ini akan ditangkap polis di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.
“Itu perkara yang amat serius, jadi saya bertindak ‘keluar’ dari bangunan SPRM melalui pintu belakang,” dakwanya.
Dalam pada itu, Alvin mendakwa, dia hanya menyedari dirinya diburu pihak berkuasa apabila gambar dan alamatnya didedahkan pada umum.
Ujarnya, perkara itu menyebabkan perniagaannya terganggu serta ramai pekerja berhenti susulan kes berkenaan.
“Saya hanya orang biasa yang tinggal di kondominium dibeli oleh ayah saya, mula melakukan pelbagai kerja termasuk pelayan hotel di Bukit Bintang.
“Oleh sebab itu, saya membuat keputusan untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa kerana percaya ada undang-undang yang akan membuktikan segala ‘tuduhan’ dilemparkan,” dakwanya. – UTUSAN ONLINE