KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Bersatu daripada semua peringkat pimpinan serta akar umbi akan memberikan sokongan dan kepercayaan teguh kepada barisan kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani cabaran pandemik Covid-19.
Ketua Penerangannya, Wan Saiful Wan Jan berkata, titah Yang di-Pertuan Agong jelas mengabsahkan keupayaan dan
kemampuan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengawal penularan pandemik berkenaan.
Katanya, semua pihak perlu menjunjung tinggi dan patuh kepada titah Seri Paduka untuk menghentikan sebarang percaturan politik yang boleh menggugat kestabilan pentadbiran negara.
“Barisan kepimpinan kerajaan PN hari ini harus diberikan ruang
untuk fokus bekerja melindungi dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat penularan wabak ini.
“Dalam hal ini juga, ahli-ahli Bersatu akan memberikan sokongan dan kepercayaan teguh kepada kepimpinan hari ini dalam menangani cabaran pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pelbagai spekulasi timbul berhubung kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri rentetan daripada keputusan Istana Negara menolak cadangan pengisytiharan darurat yang dikemukakan oleh kerajaan.
Keputusan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas bermesyuarat dengan raja-raja Melayu itu dilihat oleh ramai pihak sebagai satu isyarat bahawa Muhyiddin sudah kehilangan kepercayaan untuk terus menerajui kerajaan. – UTUSAN ONLINE