KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menentukan hala tuju parti itu setelah peranannya dipinggirkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan, hala tuju itu perlu disegerakan supaya mampu membuat persediaan menghadapi pilihan raya lebih besar yang boleh diadakan bila-bila masa.
“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya. Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan UMNO dalam jangka waktu panjang.
“Telah tiba masanya Presiden UMNO memberikan pedoman dan hala tuju jelas kepada parti dan semua ahlinya, tentang bagaimana kita harus meneruskan kerjasama kita dengan saingan politik kita.
“Jika kita terpaksa bersendiri bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN) dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai pilihan raya umum akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera agar kita dapat menyediakan diri,” kata beliau menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
UMNO bersama dalamGRS pada 26 September lalu menumbangkan Warisan Plus dalam PRN Sabah sekali gus membentuk kerajaan.
Keputusan PRN kali ini, jelas Mohammad, menunjukkan strategi dan kerjasama politik yang UMNO meterai tidak menguntungkan.
Berikutan itu, suatu konsensus politik secara tegas harus dihasilkan bagi meredakan ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam PRN Sabah.
“Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, UMNO waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).
“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO memikirkan semula pendekatan politiknya,” katanya.
Beliau berkata, jika dibiarkan dalam tempoh jangka masa yang panjang, ia menjejaskan UMNO serta melemahkan parti itu ketika menghadapi pilihan raya umum nanti.
“Janji yang dimeterai berkaitan portfolio Kabinet pun hampir dimungkiri. UMNO tidak boleh membiarkan episod pilihan raya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’,” katanya lagi.
Untuk waktu ini, Mohammad berkata, UMNO seharusnya fikir terus ke hadapan bagaimana ingin mengemudi negara dengan baik dan bukan lagi masa untuk mengenang jasa dan pengorbanan yang telah ditaburkan pada Perikatan Nasional (PN).
“Menuju masa depan, UMNO mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara. Episod itu telah berakhir.
“Episod seterusnya ialah bagaimana UMNO akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui BN dan bukannya platform politik lain.
“Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan PN,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE