KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengucap tahniah kepada Samuel Isaiah iaitu guru bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Pekan di Pahang yang terpilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Seri Paduka menzahirkan rasa bangga atas dedikasi serta usaha Samuel mendidik pelajar Orang Asli sehingga terpilih sebagai calon menerima anugerah tersebut.
“Seri Paduka berharap pencapaian hebat dan komitmen Samuel dijadikan inspirasi dan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para guru.
“Ini bertujuan untuk memberi yang terbaik dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing sama ada dalam negara mahupun di persada dunia,” kata Ahmad Fadil.
Seterusnya, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka berdoa semoga guru berkenaan memenangi anugerah tersebut dan dilimpahi kejayaan berterusan dalam bidang pendidikan.
Sementara itu, mengikut kenyataan penganjur Yayasan Varkey di London, Samuel, 33, dipilih daripada 12,000 pencalonan membabitkan lebih 140 negara.
Sebagai pendidik, Samuel memperkenalkan pelbagai inovasi bertujuan memberi inspirasi kepada pelajarnya dalam kalangan Orang Asli untuk menyimpan impian besar serta berusaha menghubungkan mereka dengan dunia luar.
Antara program diperkenalkan ialah projek pertukaran e-mel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal’ yang membolehkan pelajarnya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan lebih dewasa di dalam dan luar negara.
Samuel juga memperkenalkan program ‘Speak Up With Poetry’ iaitu projek kerjasama penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan Orang Asli.
Daripada `Speak Up with Poetry’ pelajar dibimbing Samuel boleh menonton program tersebut dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.
Program dibawa Samuel yang berasaskan penguasaan bahasa tersebut juga telah membawa kepada purata kadar kelulusan bahasa Inggeris pelajar SK Runchang meningkat daripada 30 peratus pada 2012 kepada 85 peratus pada tahun 2015 sehingga 2018. – UTUSAN