KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah berkenan memakai riben hijau sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, hari ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Tengku Puteri Iman Afzan adalah Penaung Antarabangsa untuk Hari Kesihatan Mental Sedunia bagi tahun 2020 setelah menerima undangan daripada Gabungan Badan-Badan Kesihatan Mental Sedunia baru-baru ini.
Dalam perutusannya, Tengku Puteri Iman Afzan mengajak rakyat dan kerajaan di seluruh dunia bersatu dalam usaha memartabatkan kesihatan mental kerana ia adalah tanggungjawab semua.
Kata Tengku Puteri Iman Afzan, meluangkan masa, memberi perhatian, sokongan, kasih sayang serta belas kasihan sangat penting untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan mental yang lebih baik.
Naungan Diraja berkenaan adalah sehingga Oktober 2021.
Riben hijau adalah simbol kesihatan mental antarabangsa dan sebagai tanda sokongan untuk kesedaran terhadap kesihatan mental, penyebab kesihatan mental serta untuk membantu membina solidariti bagi komuniti kesihatan mental.
Pelantikan tersebut adalah bukti usaha-usaha murni Malaysia dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, cara-cara perawatan dan cabaran polisi yang mana ia diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lain. – UTUSAN ONLINE