RANTAU PANJANG: Cubaan sekumpulan ‘tentera semut’ menyeludup sembilan ekor lembu ke negara ini menggunakan pangkalan haram gagal apabila dipatahkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan hari ini.
Rampasan lembu bernilai RM54,000 dilakukan ketika haiwan tersebut melintasi jalan Kasban, di sini pada pukul 4 pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintenden Azhari Nusi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggotanya membuat intipan di kawasan semak berhampiran tebing sungai pangkalan haram Pos Rela.
Menurut beliau, PGA kemudian melihat sekumpulan lelaki menarik beberapa ekor lembu menyeberangi sungai menggunakan perahu dari arah Thailand ke tebing sungai di pangkalan haram tersebut.
“Anggota PGA mengekori pergerakan lembu-lembu tersebut.Bagaimanapun, pergerakan itu disedari ‘tentera semut’ berkenaan yang terus melarikan diri ke kawasan hutan di jalan Kasban,” katanya.
Azhari berkata, pemeriksaan di kawasan sekitar membawa kepada penemuan sembilan ekor lembu seludup.
Katanya, kesemua lembu tersebut dibawa ke di Balai Polis Jeram Perdah menggunakan lori untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua lembu-lembu itu dipercayai diseludup dari negara jiran melalui Sungai Golok menggunakan perahu.
“Lembu-lembu ini dibawa masuk untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan,” ujarnya.
Azhari berkata, kes disiasat bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. – UTUSAN