MARANG: Seramai 80 murid, guru dan kakitangan di dua sekolah di Seberang Takir, Kuala Nerus yang kini dikuarantin akibat Covid-19 menerima bantuan barangan keperluan harian.
Sumbangan itu dihulurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai tanda prihatin terhadap nasib yang menimpa golongan tersebut.
Katanya, pemberian bantuan itu sebagai keperluan tambahan buat kesemua warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir sepanjang ditempatkan di tiga pusat kuarantin iaitu dua di daerah ini manakala satu di Renek, Besut.
“Saya faham situasi yang perlu dilalui mangsa bukan perkara mudah dan kehendak mereka.
“Selain bantuan makanan, kita melihat keperluan lain kerana difahamkan antara yang dikuarantin itu termasuk seorang ibu yang mempunyai anak kecil,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Pegawai Daerah, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Beliau turut menyerahkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Pejabat Daerah Marang bagi melancarkan urusan memerangi pandemik Covid-19 di daerah tersebut.
SK Kompleks Seberang Takir dan SMK Kompleks Seberang Takir diarahkan tutup sementara selama seminggu berkuat kuasa Isnin lalu. – UTUSAN ONLINE