GEORGETOWN: Seramai 5,443 orang diberhentikan kerja dalam pelbagai bidang di negeri ini sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy berkata, daripada jumlah itu, seramai 122 orang diberhentikan pada Mac; 1,494 orang (April); 275 orang (Mei); 1,542 orang (Jun); 1,184 orang (Julai); 290 orang (Ogos) dan 536 orang (September).
Bagaimanapun, menurut beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan mewujudkan pelbagai program mitigasi termasuk pemadanan kerja baharu bagi mereka yang hilang pekerjaan.
“Ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya 4,000 peluang pekerjaan baharu ditawarkan pelbagai pihak yang boleh diisi oleh mereka yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.
“Kita juga dari semasa ke semasa mengadakan mesyuarat dengan pelbagai pihak seperti JKK dan MTUC berkenaan bagaimana untuk menangani isu Covid-19 yang membawa kepada masalah pengangguran ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Menurut Ramasamy, kadar pengangguran di negeri ini ketika ini juga adalah pada tahap 4.5 hingga lima peratus iaitu lebih rendah dari negeri lain termasuk Kuala Lumpur.
Selain itu, tambah beliau, pelabur asing sehingga kini juga masih meyakini ekosistem perniagaan di negeri ini berbanding negeri di wilayah utara lain. – UTUSAN ONLINE