JOHOR BAHRU: Simpati terhadap nasib pekerja Indonesia di negeri ini yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor mengambil inisiatif menyalurkan bantuan keperluan asas kepada lebih 45,000 warga republik itu.
Konsul Hal Ehwal Ekonomi Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia Johor Bahru, S. Ari Wardhana berkata, bantuan tersebut adalah makanan asas seperti beras dan telur.
Katanya, inisiatif berkenaan dijayakan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.
“Seperti sedia maklum, ketika kerajaan Malaysia melaksanakan PKP bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, sektor ekonomi terpaksa dihentikan. Kesan daripada itu, masyarakat tidak dapat keluar bekerja. Ini turut melibatkan tenaga kerja Indonesia yang berada di negeri ini.
“Apabila tidak dapat bekerja, mereka tidak mempunyai punca pendapatan dan tidak dapat membeli keperluan harian. Itu antara masalah dihadapi ketika PKP,” katanya di sini hari ini.
Dianggarkan seramai 150,000 warganegara Indonesia yang menetap di negeri ini atas pelbagai urusan yang mana majoriti daripadanya auntuk urusan pekerjaan dalam pelbagai sektor khususnya pembuatan dan perkhidmatan.
Menurut Ari Wardhana, ketika PKP dilaksanakan, pihaknya memberi keutamaan kepada aspek kemanusiaan khususnya dalam memastikan kebajikan rakyat Indonesia di negeri ini terjamin.
“Selain menyediakan sumbangan berbentuk makanan asas, antara bantuan lain ialah berbentuk rawatan perubatan bagi mereka yang memerlukannya.
“Bantuan ini diberikan bermula April hingga Ogos lalu yang mana kini sektor ekonomi kembali beroperasi sekali gus membolehkan tenaga kerja Indonesia di sini kembali beroleh pendapatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE