40 jururawat dikuarantin, ICU Queen Elizabeth II masih beroperasi - Utusan Malaysia

40 jururawat dikuarantin, ICU Queen Elizabeth II masih beroperasi

AKTA
NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu, Sabah masih beroperasi meskipun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit daripada lapan kepada enam orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua pesakit di dalam ICU berkenaan telah disahkan bebas Covid-19.

Beliau berkata, terdapat seorang jururawat yang dikesan positif setelah menjalani saringan bergejala pada 6 Oktober.

Katanya, justeru saringan di tempat kerja menggunakan RTK Antigen dan juga RT-PCR telah dijalankan terhadap 92 petugas perubatan pada 9 Oktober.

“Hasil saringan mendapati seorang lagi jururawat yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks adalah positif Covid-19 manakala anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua RTK Antigen dan RT-PCR.

“Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah. Punca jangkitan masih dalam siasatan. Majoriti jangkitan di kalangan petugas kesihatan di negeri Sabah setakat ini adalah berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini..

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang mendakwa ICU di Hospital Queen Elizabeth II kini sedang bertungkus-lumus menangani kes Covid-19 selepas lebih daripada separuh rakan sekerja mereka terpaksa dikuarantin.

Noor Hisham menambah, secara keseluruhan, sejak permulaan wabak sehingga 9 September lalu, 579 orang kakitangan kesihatan dan perubatan Kementerian Kesihatan daripada pelbagai kategori skim perkhidmatan telah dijangkiti.

“Pun begitu khusus untuk negeri Sabah, bagi tempoh yang sama, 198 orang kakitangan telah dijangkiti di mana dalam bulan Oktober sahaja telah mencatat jumlah paling tinggi setakat ini iaitu 85 orang, berbanding bulan September iaitu 66 orang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN