KUALA LUMPUR: Sebanyak 34 pekerja syarikat komputer ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana disyaki terbabit dengan sindiket yang membina dan menyelenggara perisian perjudian dalam talian.
Kesemua tangkapan terdiri daripada 25 lelaki dan sembilan wanita itu berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan di sebuah premis yang berselindung di sebalik syarikat komputer serta beroperasi sejak tiga bulan lalu.
Siasatan mendapati syarikat itu membina 500 aplikasi perjudian dalam talian dan menjualnya kepada syarikat perjudian yang beroperasi di luar negara selain dikesan menyasarkan pelanggan dari Thailand.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mereka mempunyai kelayakan pendidikan dari universiti dan kolej tempatan dalam bidang yang berkait dengan perisian komputer.
Jelasnya, serbuan ke atas pejabat sindiket terbabit pada 2 Oktober lalu itu menemukan pelbagai peralatan yang digunakan untuk mempromosi dan menerima pertaruhan perjudian dalam talian.
“Pekerja itu dibayar gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM10,000 bergantung tahap kemahiran masing-masing.
“Kita merampas 38 komputer riba, 33 monitor, 15 telefon bimbit, empat tablet, satu dekoder kamera litar tertutup dan empat modem,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata, kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Jelasnya, mereka ditahan dan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman, manakala seorang lagi wanita akan ditahan selepas menjalani kuarantin Covid-19. – UTUSAN ONLINE