RANTAU PANJANG: Minggu depan sepatutnya hari gembira buat 30 pesawah dari Kampung Luar dan Tersang, di sini memandangkan padi yang mereka usahakan di atas tanah berkeluasan 92 hektar dapat dituai.
Namun ia bertukar duka apabila para petani itu diuji dengan padi mereka ditenggelami air ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu dengan nilai kerugian dianggarkan RM284,000.
Mereka mendakwa, projek tebatan banjir yang sedang giat dijalankan berhampiran kawasan pertanian tersebut menjadi punca berlakunya masalah tersebut.
Lebih memburukkan keadaan, jadual sistem pengairan yang berbeza turut memberi kesan kepada sawah di kawasan berkenaan.
Wakil mereka, Azli Jaafar, 52, berkata, sebelum ini walaupun hujan lebat, petak sawah di situ sukar dipenuhi air.
Bagaimanapun, katanya, kawasan itu bertukar menjadi ‘tasik’ sebaik sahaja musim tengkujuh melanda negeri ini.
“Untuk makluman, kerja-kerja menuai pagi di kawasan ini biasanya selesai sepenuhnya menjelang November.
“Namun tidak untuk tahun ini apabila hujan sejak beberapa hari lalu mengubah petak-petak sawah apabila dipenuhi air menyebabkan padi tenggelam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azli memberitahu, tahun ini sudah tiga kali para pesawah di kawasan berkenaan mengalami kerugian ekoran masalah limpahan air.
Katanya, mereka bagaimanapun tidak membuat laporan kepada pihak berkaitan.
“Kerugian kali pertama berlaku ketika para petani melakukan kerja-kerja menabur anak benih apabila kawasan ini ditenggelami air.
“Kejadian kedua semasa padi berusia 35 hari. Masuk kali ketiga kami terpaksa membuat laporan kerana sudah tidak mampu untuk menanggung kerugian,” ujarnya.
Sementara itu, Shaari Ismail, 68, merayu kepada pihak berkaitan agar dapat membantu menyelesaikan segara masalah berkenaan.
Katanya, penyelesaian segera mampu mengurangkan risiko kerugian para petani di kawasan tersebut. – UTUSAN ONLINE