25,832 polis jumpa kaunselor - Utusan Malaysia

25,832 polis jumpa kaunselor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gagal urus kewangan, masalah peribadi dan tekanan kerja antara faktor 25,832 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) cari khidmat kaunselor Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka) dalam tempoh dua tahun ini.

Tiga masalah sering dihadapi ialah isu peribadi, kerjaya dan kewangan membabitkan 22,612 kes manakala bakinya masalah keluarga, kesihatan, tata kelakuan dan penempatan.

Statistik Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman merekodkan sebanyak 12,249 pegawai pangkat tinggi, rendah dan awam mendapatkan khidmat kaunseling Baka dalam tempoh dua tahun dengan sebanyak 8,770 direkodkan pada 2019 diikuti 3,479 tahun ini.

Baki angka tersebut membabitkan ahli keluarga termasuk isteri atau suami dan anak kepada warga polis berkenaan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ghazali Daud berkata, sebanyak 797 pegawai kanan diikuti 9,069 pegawai rendah dan pegawai awam (2,383) dan selebihnya ahli keluarga mereka.

Menurut beliau, mereka yang ada masalah akan dirujuk ke unit ini untuk diberi kaunseling, nasihat dan juga bimbingan dalam menyelesaikannya.

“Ada sebahagian pegawai dan anggota tampil secara sukarela ke Baka selain ada juga dirujuk oleh jabatan masing-masing selepas dikenal pasti masalah mereka termasuk langgar disiplin dan tekanan kerja.

“Di Baka, kami melaksana aktiviti pembangunan, pencegahan dan pemulihan iaitu kaedah pemulihan oleh pegawai psikologi, kaunselor dan pegawai hal ehwal Islam dalam PDRM,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas lanjut, Ghazali berkata, dalam tempoh dua tahun itu juga, sebanyak 7,444 telah mengikuti sesi kaunseling, diikuti runding cara (3,736) dan bimbangan serta nasihat (14,652).

Baka ditubuhkan pada 2007 bagi membina kesahsiahan moral dan pembangunan spiritual berlandaskan agama.

Tiga elemen penting dalam Baka merangkumi Cawangan Kesejahteraan Organisasi, Cawangan Agama dan Cawangan Kaunseling dan Psikologi yang diserap sebagai satu daripada unit dalam Baka selain ditempatkan di bawah pengurusan Urus Setia Ketua Polis Negara.

Kesemua sesi berkenaan meliputi semua warga termasuk seluruh kontinjen, briged dan formasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN