BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri merampas sebanyak 233 paket kapsul baja organik yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara haram.
Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, baja itu dirampas ketika pemeriksaan rutin di pejabat pos di Bukit Mertajam, dekat sini kira-kira pukul 8.40 pagi semalam.
Katanya, baja yang dibeli seorang seorang wanita dari Thailand itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit import yang dikeluarkan Maqis negeri.
“Kapsul baja organik itu terdiri daripada sebanyak 176 paket berwarna merah, (23 paket) biru dan putih, (17 paket) hijau dan putih serta (17 paket) merah dan putih.
“Baja 100 peratus organik itu dianggarkan bernilai RM2,860.90 ditemukan dalam beberapa jenis kapsul yang diletakkan dalam beberapa bungkusan berlainan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Zarina, siasatan mendapati barangan tersebut adalah milik seorang wanita tempatan berusia 30-an yang membelinya secara dalam talian dari Thailand.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. – UTUSAN ONLINE