PUTRAJAYA: Kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih lagi tinggi apabila seramai 585 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam dengan 569 individu telah dikompaun, manakala 13 individu pula direman dan tiga lagi dijamin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka (224), penjarakan fizikal (199), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (96) dan lain-lain kesalahan (66).
“Sebanyak 54,804 pemeriksaan dilakukan melalui Task Force Operasi Pematuhan melibatkan 3,105 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 12,666 anggota.
“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng juga berjaya menahan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta berjaya merampas lapan kenderaan darat melalui 297 sekatan jalan raya.
Katanya, pada waktu ini, Operasi Benteng lebih memfokuskan kepada pendekatan pengusiran terhadap PATI berbanding tangkapan.
“Sehingga semalam, seramai 53,659 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa. Daripada jumlah itu, seramai 8,378 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 67 hotel.
“Seramai 381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 44,900 individu telah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.
Dalam pada itu, kata Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 131 tapak binaan di seluruh negara.
Jelas beliau, daripada pemeriksaan itu mendapati sebanyak 86 tapak pembinaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan, manakala 45 tapak lagi tidak beroperasi.
Ismail Sabri turut memberitahu, kerajaan membuat keputusan untuk menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di Asrama Pekerja Tropicana Petaling Jaya yang berakhir semalam.
Katanya, sehingga semalam, Kementerian Kesihatan telah membuat sebanyak 503 saringan di lokaliti itu dan sebanyak 23 kes positif direkodkan.
“Kesemua kes positif itu telah pun menerima rawatan di hospital manakala kontak rapat telahpun diarahkan menjalani kuarantin wajib.
“Walaupun Temco di situ ditamatkan, namun lokaliti ini masih tertakluk di bawah pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) bagi seluruh Selangor,” katanya. -UTUSAN