BUTTERWORTH: Seramai 21 individu berusia antara 30 tahun hingga 60 tahun dikompaun RM1,000 selepas tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam operasi di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini malam tadi.
Operasi kira-kira pukul 8 malam itu melibatkan beberapa restoran, pasar raya, kedai alat ganti kenderaan dan pusat hiburan termasuk di sekitar Tasek Gelugor dan Kepala Batas dekat sini.
Ketua Polis Daerah SPU, Noorzainy Mohd. Noor berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak mengambil bacaan suhu, tidak mematuhi penjarakan fizikal dan pelanggan tidak mendaftar memasuki premis.
“Ketika pemeriksaan di sebuah pusat hiburan, seramai sembilan individu dikompaun kerana tidak mematuhi SOP selain kesalahan premis yang menjalankan operasi melebihi masa ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE