12 barang keperluan di 724 premis PKPB stabil - Utusan Malaysia

12 barang keperluan di 724 premis PKPB stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemantauan ke atas 12 barang keperluan asas di 724 premis peringkat runcit dan borong di empat negeri dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mendapati bekalan masih stabil.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, aktiviti perniagaan di pasaran juga dilaporkan dalam keadaan terkawal dan tiada pembelian panik berlaku.

Beliau mengingatkan pengguna terutama di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah agar tidak perlu risau terhadap bekalan barang keperluan sepanjang pelaksanaan PKPB.

Katanya, pegawai-pegawai penguat kuasa kementerian sentiasa menjalankan pemeriksaan harian di seluruh negara bagi memastikan kedudukan bekalan sentiasa berada di pasaran dengan harga munasabah untuk memenuhi keperluan pengguna.

“Pemantauan kedudukan bekalan ke atas 510 peruncit terpilih daerah (DDR) dilaksanakan di keempat-empat negeri tersebut bagi menentukan kedudukan bekalan barangan di sesuatu kawasan.

“Dalam 12 jenis barangan dipantau secara harian, tujuh barangan yang dipantau kedudukan bekalan melalui program DDR iaitu gula, tepung gandum, minyak masak, telur, beras, roti dan ayam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Iskandar, pemantauan tersebut melibatkan DDR di Sabah iaitu 170 premis, Selangor (280 premis), Kuala Lumpur (55 premis) dan Putrajaya (lima premis).

Jelasnya, selain pemantauan di peringkat runcit, kedudukan bekalan dipantau secara mingguan di peringkat borong di beberapa pemborong terpilih daerah (DDW) merangkumi 214 premis.

Kata beliau, ia melibatkan tujuh barangan utama yang dipantau di peringkat itu iaitu gula, tepung gandum, minyak masak, telur, beras, gas petroleum cecair dan ayam.

“Pemantauan yang dijalankan di keempat-empat negeri tersebut adalah bagi melihat tahap keberadaan bekalan ke atas 12 jenis barangan keperluan harian pengguna di pasaran agar tindakan sewajarnya boleh diambil bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi.

“12 barangan tersebut adalah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitiser dan pelitup muka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya