112 warga polis positif Covid-19 - Utusan Malaysia

112 warga polis positif Covid-19

RAMLI DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes Covid-19 sejak dua minggu lalu bukan sahaja melibatkan orang awam namun pasukan keselamatan yang selama ini menjadi barisan hadapan terkesan apabila sebanyak 112 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan positif pandemik itu.

Malah, pendemik tersebut turut menular dalam kalangan ahli keluarga dan pegawai awam yang berkhidmat dalam agensi tersebut.

Mendedahkan perkara itu ke­pada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak tujuh pegawai kanan dan 72 anggota disahkan positif Covid-19 sejak 1 Oktober hingga kelmarin.

Katanya, selain itu, tiga pegawai awam dan 31 ahli keluarga polis dijangkiti pandemik tersebut.

“Antara negeri terlibat ialah Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sabah. Di Ibu pejabat Polis Bukit Aman pula, sebanyak tiga pegawai kanan dan dua anggota disahkan positif.

“Sebanyak 2,688 warga PD­RM di seluruh negara masih men­jalani kuarantin kendiri se­lama 14 hari susulan mempu­nyai kontak dengan pesakit Co­vid-19,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Ramli berkata, seramai 354 pegawai kanan dan 1,926 anggota berpangkat rendah sedang dikuarantin.

Ujar beliau, tidak terkecuali sebanyak 335 ahli keluarga dan 73 pegawai awam.

“Malah di Bukit Aman juga, seramai 109 pegawai, 94 anggota, 11 pegawai awam dan lapan ahli keluarga yang dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

“Sejak 18 Mac hingga kelmarin, kita mendapati sebanyak 263 warga polis termasuk pegawai awam dan ahli keluarga disahkan positif Covid-19,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ramli memberitahu, beliau ti­dak terkecuali menjalani kua­rantin kendiri selepas seorang pegawai yang menghadiri me­syuarat dipengerusikan beliau pada 7 Oktober lalu disahkan positif Covid-19.

“Saya membuat swab test dan disahkan negatif dan kini menjalani kuarantin selama 14 hari seperti dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memberi­tahu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob antara 106 kakitangan jabatan itu melibatkan 70 pegawai, 19 anggota dan 17 pegawai awam diarah menjalani kua­rantin kendiri berikutan seorang pegawai bank yang hadir dalam mesyuarat di pejabat JSJK di­sahkan positif Covid-19.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ­ke­semua 19 individu yang dikesan positif dalam Kluster Baiduri di Cheras adalah anggota polis.

Jelasnya, kes dikesan melalui saringan yang dijalankan adalah sebelum pembedahan dan individu tersebut didapati positif dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan pihaknya sedang menjalankan siasatan punca jangkitan terbabit.

Pada 5 Oktober lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan dirinya juga diminta KKM untuk kua­rantin kendiri di kediamannya selepas menghadiri mesyuarat Maj­lis Keselamatan Negara yang turut di­hadiri Menteri Di Jabatan Per­dana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri. Dr. Zulkifli disahkan positif Covid-19.

Abdul Hamid berkata, beliau telah menjalani lapan kali ujian saringan dan disahkan positif namun dinasihatkan turut kua­rantin kendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN