JASIN: Seorang wanita warga emas nyaris rentung apabila empat deretan premis bersebelahan rumah kedai didiaminya hangus dalam kebakaran berdekatan bulatan Rim, Bandar Jasin di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, mangsa Kuok Tai, 76, sempat diselamatkan orang awam yang melihatnya berdiri di hadapan pintu rumah.
Tai yang tinggal seorang diri berkata, ketika kejadian dia mahu makan malam sebelum terkejut mendengar kekecohan di luar dan ternampak api marak di sebelah rumahnya.
“Saya sakit lutut dan tidak boleh berjalan laju namun kerana mendengar bunyi bising di luar saya berjalan perlahan-lahan ke pintu rumah.
“Tiba-tiba ada seorang lelaki mendekati dan memimpin saya keluar rumah dalam keadaan sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini.
Sementara itu, Ketua Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.19 malam.
Katanya, empat jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, BBP Bukit Katil, BBP Padang Temu dan BBP Ayer Keroh bersama 36 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
“Setiba di tempat kejadian kita dapati terdapat empat buah premis kekal musnah 100 peratus manakala sebuah premis separuh kekal terbakar 10 hingga 15 peratus.
“Api merebak dengan cepat disebabkan struktur bangunan adalah kayu,” katanya.
Jelasnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN