KANGAR : Keceriaan sekumpulan warga emas beriadah dengan mendaki trek di Bukit Ayer di sini berakhir dengan duka apabila salah seorang daripada mereka maut disengat tebuan tanah, semalam.
Mangsa, Kang Ah Leck, 66, yang merupakan pemilik sebuah restoran dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.44 petang itu, mangsa bersama isteri, Kok Chooi Lung, 62, dan empat lagi rakan secara tiba-tiba diserang sekumpulan tebuan tanah ketika sedang menuruni trek di bukit tersebut.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa dan isteri serta empat lagi rakan melakukan aktiviti mendaki di Bukit Ayer.
“Semasa dalam perjalanan turun, mangsa serta isteri dan dua rakannya telah disengat tebuan tanah.
“Rakan-rakan lain kemudian membawa empat mangsa itu ke Bahagian Kecemasan HTF sebelum Dr. Norhayati Mansor mengesahkan salah seorang mangsa telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” katanya di sini hari ini.
Tambah Wari, kesemua mangsa yang disengat tebuan mengalami bengkak-bengkak pada anggota badan dan mereka mendapatkan rawatan di hospital sama.
Katanya lagi, pemeriksaan yang dilakukan ke atas mayat mangsa menemui kesan sengatan pada tangan kanan dan kedua-dua belah paha.
“Tiada sebarang kecederaan atau kesan lain pada mangsa yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, isteri mangsa, Chooi Lung berkata, suaminya masih boleh berjalan selepas diserang tebuan tanah itu, namun pengsan ketika di pertengahan jalan.
“Rakan-rakan lain yang tidak cedera kemudian membawa kami yang kena sengat ke hospital dan suami disahkan telah meninggal dunia,” katanya.
Katanya, dia dan suami kerap melakukan aktiviti mendaki terutama di Bukit Ayer sejak tahun 1997.
“Ini kali pertama kali diserang tebuan yang mana saya sendiri disengat pada kedua-dua belah tangan,” katanya. -UTUSAN
SEORANG warga emas, Kang Ah Leck, 66, maut diserang tebuan tanah ketika mendaki di trek Bukit Ayer, Perlis semalam.