KLANG: Seorang wanita patah tulang paha kiri selepas tercampak ke dalam longkang apabila motosikal ditungganginya melanggar sebuah kenderaan di Kampung Batu Tiga, Jalan Kapar di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Bonny Martin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.30 pagi dan tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.
Menurut beliau, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal melalui persimpangan empat di kawasan tersebut.
“Mangsa sepatutnya memberhentikan motosikalnya di persimpangan tersebut namun tidak berbuat demikian.
“Akibatnya motosikal mangsa melanggar bahagian tepi sebuah kenderaan yang berada di jalan utama sebelum mangsa tercampak ke dalam longkang yang terletak kira-kira satu meter dari jalan itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Katanya, operasi menyelamat melibatkan tujuh pegawai dan anggota dari balai bomba dan penyelamat Sungai Pinang.
“Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengangkat mangsa dari longkang serta mencuci jalan raya akibat limpahan petrol.
“Mangsa mengalami kecederaan patah tulang di paha sebelah kiri dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk menerima rawatan,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan. – UTUSAN