PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak notis usul yang difailkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid @ Noordin Jahim untuk menghentikan Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 26 September ini.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Mary Lim Thiam Suan sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati menjaga integriti demokrasi melalui pilihan raya adalah lebih penting.
Jahid merupakan salah seorang daripada 33 ADUN Sabah yang sebelum ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak semakan kehakiman mereka berhubung pembubaran DUN Sabah oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu.
Pada 7 September lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan 31 ADUN lagi berhubung pembubaran DUN tersebut.
Pada 26 Ogos lalu, Jahid dan Musa beroleh kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka bagi mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.-UTUSAN