KUALA LUMPUR: ‘Ribut’ dalam Perikatan Nasional (PN) baru sahaja reda susulan pelantikan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah namun Pakatan Harapan (PH) meneruskan agenda untuk ‘mengembalikan mandat kepada rakyat’.
Ia dibincangkan semalam dalam mesyuarat Majlis Presiden yang mana selain keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, usaha mengembalikan mandat rakyat itu dikatakan bagi menegakkan keadilan setelah 22 bulan PH mentadbir sebelum ini dan didakwa ditumbangkan menerusi kerajaan ‘pintu belakang’.
Dalam satu kenyataan bersama, Majlis Presiden PH memaklumkan, mesyuarat bulanan itu membincangkan beberapa perkara termasuk keputusan PRNi Sabah serta usaha di peringkat Persekutuan untuk mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.
“PH menegaskan bahawa walau apa sekalipun langkah yang diambil dalam mengembalikan mandat rakyat itu, iltizam dan komitmen terhadap perjuangan menegakkan keadilan, membanteras amalan rasuah dan memperbaiki institusi termasuk badan kehakiman tidak boleh dikompromi,” katanya.
Kenyataan itu ditandatangani Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.
Pemimpin PH yang hadir pada mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor mengunci mulut dan sekadar menyifatkan pertemuan itu sebagai ‘mesyuarat bulanan biasa’.
Salah seorang pegawai kepada pimpinan PH berkata, mesyuarat diadakan apabila terdapat isu yang perlu dibincangkan bersama dan kebiasaannya satu kenyataan akan dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut selesai.
Namun, mesyuarat yang berlangsung pada pukul 3 petang itu meninggalkan tanda tanya kepada pengamal media yang berkumpul di pekarangan ibu pejabat tersebut, malah presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beredar tanpa pengetahuan mereka yang menunggu sejak pukul 5.30 petang.
Bagaimanapun, Anwar selepas itu memuat naik kenyataan di laman sosial Facebook dengan berkata, mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan ‘usaha mengembalikan mandat rakyat’.
“Mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Majlis Presiden Pakatan Harapan petang tadi.
“Pelbagai perkara dibincangkan terkait hal ehwal semasa negara serta usaha mengembalikan mandat rakyat,” katanya.
Mesyuarat Majlis Presiden PH semalam adalah yang pertama selepas Anwar mengumumkan mempunyai majoriti sokongan daripada anggota Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.- UTUSAN ONLINE