KUANTAN: Semalam tular dalam laman media sosial khususnya WhatsApp dan Facebook mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah positif Covid-19.
Ini sekali gus membangkitkan rasa bimbang dalam kalangan rakyat khususnya yang terlibat dalam program-program bersama Nazri semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Nazri menjalani ujian kedua semalam menerusi Polymerase Chain Reaction (PCR) dan keputusannya adalah didapati negatif.
Menurutnya, perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Bahari Tok Muda Che Awang Ngah kepadanya pagi ini.
“Oleh itu, saya turut dimaklumkan kesemua mereka yang terlibat dengan Nazri sebelum ini, tiada risiko dijangkiti.
“Sungguhpun begitu, saya merayu orang ramai meneruskan amalan yang disarankan seperti mana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nazri antara delegasi kerajaan negeri yang pulang dari Sabah pada 25 September dan terus membuat ujian Covid-19 di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan keputusannya didapati negatif.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy meminta orang ramai supaya tidak leka kerana Covid-19 masih berada dalam komuniti yang menuntut semua pihak berwaspada serta berusaha membendung dan mengatasi penularan wabak itu.
“Mengambil kesempatan ini, saya ucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan negeri serta kakitangannya, yang bertindak pantas dalam menangani isu terkini yang dihadapi,” katanya.