IPOH: Tun Dr. Mahathir Mohamad tersilap apabila menyebut parti yang ditubuhkannya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai blok ketiga.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, pengundi tidak berminat dengan kuasa ketiga sama ada Pejuang atau sebaliknya.
Menurutnya, ini menyebabkan Pejuang ditolak rakyat apabila calon yang disokong Mahathir, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini.
“Saya fikir Tun silap apabila beliau sebut Pejuang sebagai blok ketiga dan tidak terikat dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
“Rakyat di negara ini malah di seluruh dunia, memilih sistem dua parti.
“Mereka yang cuba menjadi suara ketiga kebanyakannya gagal atau merosakkan sistem politik yang ada, kacau daun saja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Aziz Bari yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak bersetuju PRK Slim tidak boleh dijadikan ukuran penerimaan rakyat terhadap Pejuang disebabkan dinamika dan PRK berlainan berbanding Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurutnya, bagaimana pun sama ada keadaan itu boleh dipakai dalam konteks Pejuang, beliau tidak pasti kerana jentera kempen dan alasan moral kewujudan Pejuang itu sendiri memang tidak kukuh.
“Maksudnya perlukah Pejuang diwujudkan? Untuk apa dan apakah parti-parti yang ada tidak cukup atau tidak dapat memperjuangkan perkara yang hendak Pejuang ketengahkan?” katanya.
Mengenai penglibatan beberapa pemimpin PH membantu Amir Khusyairi semasa kempen PRK Slim, Abdul Aziz berkata, mereka datang atas nama peribadi, bukan atas nama parti.
“Walaupun mereka datang membantu kempen, Pejuang masih gagal bahkan Pejuang gagal mempertahankan undi yang diraih PH dalam PRU-14,” ujar beliau.
Tun silap umum Pejuang blok ketiga
- Oleh SAYED HESHAM IDRIS
- 5 September 2020, 11:22 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
PRN: Pejuang harap dapat kerjasama dengan PN
5 Julai 2023, 3:23 pm
Pejuang, Putra akan bersama PN
27 Jun 2023, 7:24 am
Isu kalimah Allah: Kenapa saya jadi sasaran? – Aziz Bari
25 Mei 2023, 1:24 pm