SEREMBAN: Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) kini sedang mengadakan perbincangan dengan sekurang-kurangnya tiga pihak yang telah menyatakan minat untuk mengambil alih kelab tersebut yang telah diluluskan proses penswastaannya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri berkata, perbincangan tersebut turut melibatkan berkenaan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC.
“CEO kita akan tetapkan pada satu tarikh yang akan datang, berbincang dengan beberapa buah syarikat dan individu yang bersetuju untuk menaja dan seterusnya mungkin mengambil alih penswastaan ini, masih dalam proses perbincangan setakat ini, agak terlalu awal untuk menamakan CEO itu.
“Insya-Allah kalau ada satu syarikat atau individu yang bersedia untuk mengambil alih kelab ini kita agak terbuka, apa-apapun kita harus teliti dengan lebih rapi sebab persatuan (PBNS) juga adalah pemegang taruh kelab ini. Buat masa ini ada dua tiga pihak iaitu syarikat dan individu yang berminat, insya-Allah mungkin kita akan senarai pendek, mana yang terbaik untuk kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kewangan dan Majlis Pengumuman Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) di sini hari ini. Turut dilancarkan pada majlis tersebut ialah logo kelab NSFC.
Hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Penasihat PBNS, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pada majlis tersebut, Aminuddin turut menyampaikan sumbangan bernilai RM2 juta daripada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan kepada PBNS.
Dalam pada itu, jelas Tunku Syed Razman, bagi menerajui proses penswastaan, PBNS telah meletakkan tiga orang ahli jawatankuasanya di dalam syarikat NSFC Sdn. Bhd. yang menguruskan NSFC.
Sementara itu, mengulas prestasi hambar pasukan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Perdana ketika ini, beliau memberitahu Negeri Sembilan akan mengambil beberapa langkah agar pasukan tersebut dapat lebih memberi saingan pada musim hadapan.
“Prestasi ini kita tahu, apa yang inputkan dalam pasukan, itulah imbuhan yang kita dapat, kekangan yang kita lalui dengan adanya pandemik Covid-19, prestasi agak menurun kita juga tidak puas hati.
“Bagaimanapun (keputusan) jangka masa panjang yang mahu kita lihat, buat masa ini agak terlalu suntuk, hanya ada tinggal dua perlawanan lagi tapi kita sedang ambil langkah untuk memastikan bahawa musim hadapan kita tidak akan dibelenggu dengan masalah kecederaan, pemain yang berumur dan sebagainya. Kita akan serapkan lebih ramai pemain muda dan pemain-pemain baharu,” katanya.
//habis
kapsyen:
SEREMBAN 30 Sept.- Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri (tengah) menerima ‘mock check’ sumbangan sebanyak RM2 juta daripada Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan yang disamapaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Penasihat PBNS, Datuk Seri Aminuddin Harun pada majlis Penyerahan Sumbangan Kewangan dan Majlis Pengumuman Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) di sini hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.