KLANG: Tindakan sebuah syarikat cuba membawa masuk muatan kayu dengan memalsukan sijil fitosanitasi (sijil kesihatan tumbuhan) dari Myanmar menggunakan tujuh kapal mengundang padah apabila kesemuanya dirampas di Pelabuhan Klang Selatan, di sini kelmarin.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, pihaknya bersama Pasukan Risikan Marin Selangor menjalankan pemeriksaan terhadap tujuh kira-kira pukul 1.30 petang kelmarin.
“Pemeriksaan terhadap tongkang itu mendapati mereka membawa masuk muatan kayu (Sawn Timber) yang dipercayai dengan memalsukan sijil fitosantasi dari Myanmar.
“Kesemua dagangan kayu seberat 652.76 tan metrik itu bernilai RM425,660.53 termasuk tujuh buah kapal tongkang tersebut.
“Siasatan mendapati ini adalah tangkapan ketiga Maqis Selangor yang bertindak merampas kapal membawa kayu dari negara Myanmar pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Tarmisal, perbuatan mengimport kayu\dengan menggunakan dokumen palsu, tidak tepat atau mengelirukan adalah kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Sekiranya didapati bersalah, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua duanya.
“Setakat ini, kita telah mengesan pemilik syarikat tersebut yang merupakan warga tempatan. Kita akan menjalankan siasatan lanjut.
“Maqis Selangor sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan sebarang kemasukan dan keluaran komoditi haiwan, pertanian dan ikan sentiasa mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan bagi menjamin biosekuriti negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE