Tiada kerajaan tumbang - Khairy - Utusan Malaysia

Tiada kerajaan tumbang – Khairy

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengesahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tumbang.

Katanya, hal itu disahkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

“Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Tidak ada apa-apa yang tumbang atau jatuh,” katanya menerusi ciapan Twitternya di sini hari ini.

Pukul 12 tengah hari tadi, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Muhyiddin tumbang selepas memperolehi majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.

Jelasnya dalam sidang media sebentar tadi, kerajaan baharu itu adalah gabungan ahli Parlimen daripada pelbagai parti, namun tidak menyebut berapakah jumlah majoriti yang diperolehi.

Menurut Anwar, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang kukuh dengan kepimpinan cekap dan yakin untuk mengurus ekonomi dengan kebijaksanaan dan tuntas.

Beliau berkata,  adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan negara dari kemelesetan ekonomi.

“Saya telah mendapat sokongan kukuh dan meyakinkan daripada ahli parlimen untuk saya persembahan kepada Yang di-Pertuan Agong. Dan ingin saya menyatakan di sini majoriti dan sokongan itu dalam kalangan Melayu dan Islam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jelasnya lagi, Anwar sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada semalam jam 11 pagi.

Namun pertemuan tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan baginda yang kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN