KANGAR: Seorang tekong sanggup memperjudikan nyawanya dengan terjun ke dalam laut apabila menyedari kehadiran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 0.2 batu nautika dari barat pantai Sungai Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, Maritim Malaysia menahan sebuah bot kerana melakukan aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat rawa sorong.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, aktiviti bot tersebut dikesan semasa bot Maritim Malaysia sedang melakukan rutin rondaan di sekitar perairan negeri ini.
“Semasa menghampiri bot tersebut, bot peronda Maritim Malaysia terlanggar objek keras di permukaan air iaitu buluh panjang yang digunakan untuk menangkap ikan dan disyaki dibuang oleh tekong bot terbabit sebelum melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Bot peronda Maritim Malaysia mengejar bot terbabit dan mendapati seorang tekong terjun ke laut meninggalkan bot dan berenang melarikan diri ke daratan berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shafie, pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut mendapati tiada hasil tangkapan yang ditemukan dan disyaki baru sahaja keluar untuk menangkap ikan.
Tambahnya, anggaran nilai rampasan bot terbabit berserta enjin sangkut bergalah adalah sekitar RM6,000.
“Bot tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan untuk menangkap ikan.
“Kes turut disiasat di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 jadual 2 iaitu menggunakan kaedah penangkapan ikan dengan menolak di sepanjang dasar laut menggunakan bot berjentera,” katanya. – UTUSAN ONLINE