KUALA LUMPUR: Masalah kekurangan warga polis antaranya berpunca daripada kekosongan membabitkan pegawai dan penolong pegawai tadbir yang tidak diisi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, kebanyakan pegawai beruniform terpaksa masuk ke pejabat untuk melakukan kerja-kerja pentadbiran kerana kekurangan kakitangan am.
“Perkara ini berlaku apabila pegawai PDRM beruniform terpaksa melakukan kerja-kerja pentadbiran apabila kekosongan jawatan pegawai dan penolong pegawai tadbir am dalam jabatan tersebut tidak diisi.
“Tugasan pentadbiran dilakukan oleh pegawai beruniform, maka sudah tentu kita akan kekurangan tenaga kerja di lapangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kekurangan perjawatan PDRM disifatkan sebagai kritikal jika diukur dari sudut nisbah polis dengan penduduk di negara ini yang jauh ketinggalan dengan standard piawaian ditetapkan polis antarabangsa.
Menurut beliau, kerajaan harus mempertimbangkan perkara ini kerana negara akan rugi ekoran anggota PDRM bertugas dalam pejabat berbanding di lapangan.
“Mereka ini lebih sesuai untuk bekerja di lapangan kerana daripada peringkat awal mereka dilantik atas kebolehan mereka dan bukannya untuk bekerja dalam pejabat,” ujarnya.
Beliau menegaskan, sekiranya tidak diambil tindakan yang sepatutnya, akan ada lebih banyak kes jenayah tidak dapat diselesaikan.
“Sama ada tambah kakitangan ataupun kes jenayah akan meningkat. Itu sahaja yang saya boleh katakan kerana kurangnya tenaga kerja dalam sektor ini boleh membawa kesan yang lebih parah kepada negara dan keselamatan masyarakat,” katanya.