RAUB: Polis mengesan seorang tahanan wanita kes dadah yang melarikan diri dalam keadaan tangan bergari ketika dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Raub semalam.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang, Saidatina Aida Sahabudin, 23, melarikan diri selepas selesai sebutan kes terhadapnya.
Ketua Polis daerah, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, semasa kejadian anggota polis bertugas mengiringi tahanan tersebut bersama 11 Orang Kena Tahan (OKT) lain naik ke lori untuk dibawa ke lokap Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Raub.
“Semasa beratur menaiki lori, tiba-tiba muncul seorang lelaki menaiki motosikal dan terus berhenti di tepi OKT wanita itu.
“Tahanan wanita itu terus melompat ke atas motosikal tersebut lalu meninggalkan pekarangan mahkamah.
“Anggota polis mengejar tahanan tersebut menyebabkan motosikal dinaiki mereka terbalik tetapi OKT wanita dan penunggangnya berjaya melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, OKT berasal dari Kampung Ulu Lepar, Dong di sini dituduh atas kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39C (1) ADB 1952 kerana mempunyai empat sabitan lampau di bawah Seksyen sama.
Beliau memberitahu, ketika dituduh, OKT wanita itu mengaku tidak bersalah dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 September depan.
Dalam pada itu, katanya, usaha mengesan OKT masih dilakukan dan polis mengenal pasti penunggang motosikal yang berumur 22 tahun berasal dari Kampung Pulau Kabong, Budu di Benta, Lipis.
“Hebahan dibuat bagi membantu mengesan suspek. Keluarga suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak pasangan itu diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis dengan segera,” katanya. – UTUSAN