KULIM: Kegiatan seorang suri rumah menjual arak secara haram terbongkar selepas rumahnya diserbu polis dalam operasi di Taman Perak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, wanita berusia 53 tahun itu dipercayai menjual arak tanpa lesen di rumahnya sejak dua bulan lalu.
Polis menjalankan intipan di rumah suspek dan mendapati beberapa lelaki datang di tepi pagar rumah suspek untuk membeli minuman keras itu.
“Selepas itu, anggota polis menyamar sebagai pelanggan untuk membeli arak yang dijual suspek sebelum membuat serbuan.
“Suspek tergamam dengan tindakan polis itu dan membawa anggota polis masuk ke dalam rumahnya untuk pemeriksaan lanjut,” katanya di sini hari ini.
“Kita menahan suspek untuk siasatan lanjut dan arak tersebut dirampas,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE